PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mempamerkan taring apabila mara ke separuh akhir Terbuka Arctic 2025 di Vantaa, Finland, hari ini.
Beregu pilihan kedua itu hanya memerlukan 34 minit untuk menyingkirkan gandingan Perancis, Margot Lambert-Camile Pognante dengan kemenangan meyakinkan 21-11, 21-19 dalam aksi suku akhir.
Aksi bertenaga di Arena Vantaan Energia itu sekali lagi membuktikan rentak konsisten mereka selepas muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025 bulan lalu.
Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran sengit esok menentang sama ada pilihan keempat dari Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En-Tzu atau pilihan keenam China, Bao Li Jing-Zhang Shu Xian.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu profesional campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila langkah mereka terhenti di suku akhir.
Pasangan pilihan kelima itu tunduk mudah 12-21, 14-21 kepada pilihan ketiga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran. – UTUSAN