Terbuka Arctic: Pearly-Thinaah ke final, Hon Jian-Haikal gagal ulang magis

Terbuka Arctic: Pearly-Thinaah ke final, Hon Jian-Haikal gagal ulang magis

Pearly Tan-M. Thinaah menewaskan gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu 22-24, 21-8, 21-17 dalam aksi separuh akhir Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mempamerkan ketahanan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menempah slot final Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, semalam.

Pasangan ranking No. 2 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu 22-24, 21-8, 21-17 dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik.

Kemenangan itu membawa Pearly-Thinaah ke final keenam mereka tahun ini, selepas muncul juara Terbuka Thailand serta naib juara di Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia.

Mereka bakal memburu gelaran kedua musim ini apabila turun menentang pasangan Jepun No. 6 dunia, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi, yang mara selepas menewaskan rakan senegara Arisa Higashino-Chiharu Shida 21-14, 12-21, 25-24.

Pearly-Thinaah dilihat memiliki kelebihan moral apabila pernah menumpaskan pasangan Jepun itu sebanyak lima kali dalam tujuh pertemuan sebelum ini.

Sementara itu, beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri gagal meneruskan rentak ajaib mereka apabila tewas kepada gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy, 16-21, 23-25.

Beregu No. 47 dunia itu berjuang habis-habisan namun gagal mengekang aksi mantap pasangan No. 15 dunia yang lebih berpengalaman di pentas separuh akhir.

Bagaimanapun, pujian tetap wajar diberikan kepada Hon Jian-Haikal yang berjaya mara sejauh itu biarpun Haikal baru pulih daripada kecederaan dan hanya kembali beraksi sejak Terbuka Taiwan pada Mei lalu.

Semalam, Hon Jian-Haikal mencipta sensasi selepas mengetepikan pasangan No.4 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN