PETALING JAYA: Bekas jurulatih perseorangan negara, Wong Tat Meng menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Sydney bulan lalu.
Menurut kemas kini rasmi kelab badminton Roketto yang berpangkalan di Sydney, Tat Meng yang kini berkhidmat sebagai pengarah program dan kejurulatihan mereka dilaporkan semakin pulih melebihi jangkaan.
Antara perkembangan terbaharu, beliau sudah mampu berbual dengan jelas bersama pelawat serta pasukan perubatan, malah sudah mula mengambil makanan berbentuk kisar.
“Semalam, buat kali pertama beliau diletakkan di atas kerusi roda yang membolehkan beliau menjalani senaman pemulihan dan menikmati udara segar di luar.
“Walaupun masih memerlukan beberapa minggu lagi untuk pemulihan, tahap kesihatan beliau sangat positif dan pemulihannya terus memberikan inspirasi kepada orang sekeliling,” kata kenyataan kelab itu menerusi hantaran di Facebook.
Tat Meng, 58, terlibat dalam nahas pada 7 September lalu selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Putty Road, Garland Valley.
Sepanjang karier kejurulatihannya, Tat Meng bukan sahaja pernah mengendalikan skuad kebangsaan malah membimbing pemain profesional, Lee Zii Jia sehingga berjaya meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, kerjasama dengan Zii Jia berakhir pada Disember tahun lalu sebelum beliau menerima tawaran mengetuai program pembangunan badminton Roketto di Australia. – UTUSAN