Tak mengaku pecah amanah RM1.9 juta milik syarikat

Tak mengaku pecah amanah RM1.9 juta milik syarikat

SEORANG pegawai akauntan yang menjalankan perniagaan kuih bulan didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan pemindahan wang syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta ke dalam akaun bank miliknya.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang pegawai akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah iaitu membabitkan pemindahan wang syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta ke dalam akaun bank miliknya, beberapa tahun yang lalu.

Tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29, yang juga menjalankan perniagaan kuih bulan membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat 231 kali pemindahan wang berjumlah RM1,919,899.55 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya antara 6 November 2020 hingga 22 Mei 2023 di Wings Freight Express Sdn. Bhd. di Batu Maung, di sini.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tempoh satu hingga 14 tahun selain dikenakan hukuman sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.

Ketika prosiding, Jin Hong mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Puveneswaran yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan bahawa jaminan bukan satu bentuk hukuman, selain memberitahu, anak guamnya sudah berkahwin dan baru sahaja menimang anak sulung, baru-baru ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, beserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya dan menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN