KUALA LUMPUR: Setelah lebih empat dekad menanti, penantian panjang komuniti pekak negara akhirnya berbalas apabila nama sukan orang pekak disebut buat julung kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 kelmarin.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn menyifatkan pengiktirafan itu sebagai detik paling bersejarah dalam perjuangan mereka yang selama ini terasa ‘terpinggir’ dalam landskap sukan negara.
Katanya, pengumuman itu bukan sekadar simbolik tetapi satu mesej jelas bahawa kerajaan kini mengiktiraf kesamarataan dan keupayaan komuniti pekak sebagai sebahagian daripada keluarga besar sukan Malaysia.
“Kami sangat terkejut. Bila Yang Amat Berhormat memetik ‘sukan orang pekak’, ia memberi harapan yang sangat besar. Mak ayah yang mempunyai anak pekak kini gembira kerana usaha anak-anak mereka dihargai.
“Selama ini kami mungkin dianggap seperti anak tiri, tetapi sekarang kami dilihat sama rata seperti sukan-sukan yang lain. Ini adalah satu pengesahan daripada pihak kerajaan dan KBS,” katanya.
Jelasnya lagi, langkah kerajaan itu diyakini akan menjadi pemangkin kemasukan lebih ramai bakat baharu dalam sukan pekak, terutama di peringkat sekolah dan negeri yang kini mula membuka mata terhadap potensi atlet mereka.
“Apabila kerajaan memberi pengiktirafan, ibu bapa akan lebih yakin untuk benarkan anak mereka menyertai sukan pekak. Kita sudah lihat contoh positif di Sarawak ketika SOPMA ke-22 yang mendapat sokongan kuat kerajaan negeri,” katanya.
Bagaimanapun, Ong berkata, MSDeaf masih berdepan kekangan kewangan apabila hanya dijangka menerima RM2 juta untuk tahun depan, jumlah yang dianggap belum mencukupi bagi menampung program pembangunan atlet sepenuh masa.
“RM2 juta itu masih tidak cukup. Kami akan memohon tambahan sekurang-kurangnya RM3 juta setahun bagi memastikan latihan, kejohanan dan pembangunan bakat baharu dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya. – UTUSAN