JOHOR BAHRU – Hasrat skuad remaja negara untuk mencari kedudukan podium tampak sukar selepas tewas 1-4 kepada Great Britain pada perlawanan keempat Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin berada di tempat kelima dengan mengutip empat mata.
Sebaik perlawanan bermula, Young Tigers berpeluang untuk mencipta jaringan seawal minit ketiga menerusi tiga pukulan sudut penalti berturut-turut namun kesemua gagal disudahkan oleh Harris Iskandar Osman dan Azimuddin Shakir Kamaruddin.
Ketika pasukan tuan rumah rancak melancar serangan, anak buah Jon Bleby yang terlebih dahulu memecahkan kebuntuan apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-10 yang disempurnakan oleh Kaden Draysey menewaskan penjaga gol, Haziq Muizuddin Hairul Mizan.
Young Tigers pantas mendapatkan gol penyamaan apabila hantaran Handzalah Abdul Hadi yang mencari Adam Asyraf Mohd. Johari bagi menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol, James Carleton.
Bagaimanapun keadaan itu tidak bertahan lama selepas Britain kembali menjarakkan kedudukan dengan menghukum kegoyahan barisan pertahanan pasukan Malaysia untuk mencipta gol hasil gol padang Jonny Sturch-Hibbit pada minit ke-19.
Great Britain menambah derita Young Tigers apabila menjaringkan gol ketiga perlawanan pada minit ke-26 selepas Michael Royden mudah menyelinap melepasi kawalan pertahanan sebelum melorongkan bola kepada Monty Neave yang tidak dikawal mudah menguis bola menerjah gawang Malaysia.
Memasuki suku ketiga, Young Tigers meningkatkan tempo permainan bagi merapatkan jurang gol namun tidak berhasil bagi melepasi benteng Great Britain yang cukup berdisiplin mempertahankan kelebihan jaringan.
Situasi buah anak buah Nor Zaini semakin parah apabila pasukan lawan berupaya menambah jaringan pada minit ke-39 selepas Sturch-Hibbit meledak gol kedua peribadi apabila pukulan deras dilakukan mudah melepasi jangkauan Haziq Muizuddin.
Young Tigers tampak hilang sengat ketika permainan memasuki suku keempat apabila tidak berjaya menambah jaringan dan keputusan kekal ke wisel penamat.
Sementara itu, New Zealand melakar kemenangan pertama dalam saingan SOJC selepas menewaskan Pakistan 3-2 menewaskan Pakistan pada perlawanan terdahulu.
Skuad kendalian Mike Delaney bangkit daripada tiga kekalahan apabila mempamer aksi bertenaga dan menghasilkan gol padang oleh Rocco Ludolph pada minit ke-19 namun Sufyan Khan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26.
Pada babak kedua, skuad kendalian Kamran Ashraf berada hadapan hasil pukulan sudut penalti Sufyan Khan pada minit ke-25 dan Black Sticks bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Jakarta Klebert.
Jordan Whittleston muncul wira New Zealand apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-53 sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama pada saingan SOJC kali ini. – UTUSAN