KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan sebuah agensi berita antarabangsa disyaki mengandungi kenyataan fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis hari ini berhubung dakwaan oleh agensi berita itu berkaitan pemilikan sebanyak 17.7 juta saham oleh Azam dalam sebuah syarikat
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kes disiasat di bawah peruntukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Kelmarin, Azam menjelaskan bahawa beliau tidak lagi memiliki sebarang saham di mana-mana syarikat dan semua urus niaga saham sebelum ini dijalankan dengan telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan, sambil menambah bahawa akaun dagangannya kini kosong dan boleh disahkan dengan Bursa Malaysia.
Azam semalam justeru memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan agensi berita itu baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.- UTUSAN.










