Slot suku akhir milik beregu lelaki negara

Slot suku akhir milik beregu lelaki negara

Beregu No. 2 dunia, Aaron-Wooi Yik dipaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-15, 26-24 dalam masa 45 minit di Glaz Arena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Salah satu slot suku akhir beregu lelaki menjadi milik Malaysia selepas pertembungan sesama sendiri antara Aaron Chia Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Cesson-Sevigne, Perancis, esok.

Beregu No. 2 dunia, Aaron-Wooi Yik dipaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-15, 26-24 dalam masa 45 minit di Glaz Arena.

Yew Sin-Ee Yi pula menewaskan Pruthvi Krishnamurthy Roy-Sai Pratheek.K dari India 21-18, 21-13 dalam masa 37 minit.

Turut melangkah ke pusingan kedua, gandingan No. 4 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang membenam pasangan ke-10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 15-21, 21-19, 21-11 dalam masa 52 minit.

Bagi mencari tempat ke suku akhir, Sze Fei-Izzuddin terlebih dahulu perlu melepasi halangan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang menghuni ranking No. 13 dunia di pusingan kedua.

Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, gandingan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mengalahkan Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan 21-16, 22-24, 21-12 dalam masa 47 minit.

Thinaah berkata, mereka bermula dengan agak perlahan dan persembahan tidak begitu memuaskan hati.

“Tetapi kami tetap mencuba untuk menghadirkan yang terbaik dalam pertemuan ini,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Pearly pula berkata, dia berdepan kesukaran untuk mematikan bulu tangkis ekoran keadaan gelanggang yang menyebabkan permainan mereka bergerak perlahan.

“Keadaan itu menyebabkan kami sukar membaca pergerakkan bulu tangkis, tetapi, ia bukan alasan kerana pemain lain turut berdepan isu sama,” katanya.

Pada peringkat seterusnya, Pearly-Thinaah akan bertemu Bao Li Jing-Zhang Shu Xian dari China.

Nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki dan wanita Malaysia apabila Leong Jun Hao serta K. Letshanaa tewas kepada lawan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN