PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya satu wakil negara telahpun mara ke separuh akhir, selepas dua beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai bertembung sesama sendiri pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense, Denmark, esok.
Juara dunia, Tang Jie-Toh Ee Wei hanya memerlukan 33 minit untuk menyingkirkan gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 21-14, 21-11 di peringkat 16 terbaik, hari ini.
Beregu No. 9 dunia, Soon Huat-Shevon telahpun melayakkan diri ke suku akhir lebih awal selepas menewaskan gandingan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-13, 21-18 dalam masa 37 minit.
Ee Wei berkata, komunikasi banyak membantu mereka bermain baik dan perancangan yang diatur turut serba menjadi.
“Tetapi saya masih berasakan kami perlu belajar lebih banyak lagi terutama untuk bermain lebih konsisten,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Tang Jie pula berkata, selepas menyertai beberapa kejohanan, dia dan Ee Wei mengambil masa untuk fokus kepada latihan.
“Bulan November kami kembali ke gelanggang pertandingan dan harap dapat bermain baik di sini.
“Keadaan gelanggang juga bagus dan kami semakin menyesuaikan diri termasuk keadaan angin yang bertiup,” katanya.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang tewas mengejut kepada pasangan yang baru digandingkan, Arisa Igarashi-Chiharu Shida dari Jepun 18-21, 9-21 dalam masa 35 minit.
Kekalahan menimpa juara Terbuka Arctic itu di pusingan kedua, mungkin membuka peluang untuk mereka mendapatkan rehat yang cukup sebelum kembali ke gelanggang pada Terbuka Perancis, minggu depan. – UTUSAN