RAWANG: Skyline Luge Kuala Lumpur menyasarkan kehadiran sehingga 500,000 pengunjung tahun depan susulan pembukaan tarikan terbaharu, Skyline Hyfly yang pertama seumpamanya di Asia.
Pengurus Besarnya, Logan Chandler berkata, sasaran itu dibuat selepas sambutan menggalakkan diterima sejak taman berkenaan dibuka Disember tahun lalu dengan lebih dua juta tunggangan direkodkan setakat ini.
“Skyline Hyfly akan membawa pengalaman baharu kepada pengunjung, satu gabungan keterujaan dan keselamatan yang direka untuk semua peringkat umur.
“Kami percaya penambahan ini akan meningkatkan lagi jumlah pelawat menjelang tahun depan,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran rasmi Skyline Hyfly di sini, baru-baru ini.
Menurut Logan, Skyline Hyfly menggunakan sistem kabel ke landasan yang membolehkan penunggang berpusing sehingga 720 darjah di udara sebelum menamatkan luncuran dengan pilihan jatuh bebas, menjadikannya zipline berkembar pertama seumpamanya di rantau ini.
“Perbezaan utama Hyfly ialah teknologi zipline yang membolehkan pergerakan lencongan dan pusingan spiral, bukan sekadar luncuran dari titik A ke B seperti kebanyakan zipline lain. Ia memberi pengalaman yang benar-benar unik dan menyeronokkan,” katanya.
Katanya, keselamatan tetap menjadi keutamaan utama dengan semua struktur dan sistem diluluskan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta diuji secara berkala oleh pasukan operasi yang terlatih.
“Zipline ini memenuhi semua piawaian industri antarabangsa. Jika berlaku sebarang gangguan, mekanisme lain akan mengambil alih untuk memastikan penunggang selamat. Kami juga menjalankan latihan kecemasan setiap minggu,” katanya.
Logan berkata, tarikan baharu itu turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sekaligus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan keluarga bertaraf dunia.
“Ini termasuk Selangor yang terus menonjolkan daya tarikannya melalui Tahun Melawat Selangor 2025 dan Malaysia pula bersiap sedia menyambut dunia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026. Kami amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran, Andes Wong berkata, pihaknya giat menjalankan promosi bersama Tourism Malaysia termasuk penyertaan dalam misi promosi luar negara bagi memperkenalkan Skyline Hyfly ke pasaran antarabangsa.
“Kami juga tersenarai dalam video rasmi Surreal Experiences terbitan Tourism Malaysia yang mengetengahkan tarikan pelancongan utama negara. Skyline Luge merupakan satu-satunya tarikan seumpamanya di Lembah Klang,” katanya.
Sejak dibuka pada Disember 2023, Skyline Luge Kuala Lumpur menjadi taman Luge pertama di Malaysia dan kelapan di dunia yang terus berkembang sebagai tarikan pelancongan utama menjelang TMM 2026. – UTUSAN








