LONDON: Chelsea memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan membelasah Ajax Amsterdam 5-1 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan lebat itu, menyaksikan tiga gol dijaringkan oleh pemain remaja, tiga sepakan penalti dan satu kad merah.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, menurunkan barisan pemain dengan purata umur hanya 22 tahun, melakukan 10 pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.
“Saya bekerja dengan mereka setiap hari. Saya tahu apa yang mereka mampu lakukan,” kata Maresca mengenai barisan mudanya.
Malam malang Ajax bermula pada minit ke-17 apabila kapten mereka, Kenneth Taylor, dilayangkan kad merah kerana terjahan berbahaya ke atas Facundo Buonanotte, selepas pengadil Felix Zwayer menukar keputusan awal kad kuning kepada merah selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang.
Seminit kemudian, hasil sepakan percuma tersebut, pemain berusia 19 tahun, Marc Guiu, menyambar hantaran lintang Wesley Fofana dan menolak bola masuk dari jarak dekat untuk membuka jaringan.
Moises Caicedo menambah jaringan kedua pada minit ke-29 dengan rembatan rendah dari jarak 30 meter yang menerjah jaring.
Penyerang tinggi lampai Ajax, Wout Weghorst, mengurangkan jurang gol pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti, selepas Tosin Adarabioyo terpijak kaki Raul Moro di dalam kotak penalti.
Kekurangan pemain Ajax kembali menghantui mereka apabila Weghorst menjatuhkan Enzo Fernandez dengan terjahan pada minit ke-45.
Enzo tidak mensia-siakan peluang menewaskan penjaga gol veteran berusia 41 tahun, Remko Pasveer menerusi sepakan penalti.
Lima minit kemudian, dalam masa tambahan babak pertama, Youri Baas menjatuhkan Estevao dengan satu lagi terjahan dan pemain Brazil berusia 18 tahun itu menyempurnakan penalti dengan rembatan kencang ke penjuru atas gawang untuk memberikan Chelsea mendahului 4-1 di separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menjadi misi mengurangkan kerosakan bagi pasukan Belanda itu yang telah tewas semua perlawanan UCL mereka setakat ini, dibolosi 11 gol dan hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti.
Chelsea kemudiannya memasukkan penyerang muda Tyrique George pada separuh masa, dan pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan gol hanya tiga minit selepas dimasukkan.
Turut membuat penampilan pada separuh masa kedua ialah Reggie Walsh, yang baru menyambut ulang tahun ke-17 Isnin lalu, menjadikannya pemain termuda Chelsea yang pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara.-AGENSI










