PETALING JAYA: Hasrat untuk mencipta kejutan dan menjejakkan kaki ke separuh akhir tidak kesampaian, selepas perjuangan wakil Malaysia, S. Sivasangari dan Aira Azman menemui titik noktahnya pada suku akhir Kejohanan Skuasy Klasik Qatar di Doha, Qatar, semalam.
Bintang No. 7 dunia, Sivasangari gagal mengulangi kecemerlangannya pada Klasik London, tahun lalu, selepas tunduk kepada jaguh No. 2 dunia, Hania El Hammamy dari Mesir 7-11, 8-11, 6-11 dalam masa 34 minit di Kompleks Skuasy & Tenis Khalifa.
Setakat ini, perjuangan Sivasangari untuk sekurang-kurangnya melangkah ke perlawanan akhir masih belum menemui hasil selepas beberapa percubaanya dalam Jelajah PSA menemui kegagalan, musim ini.
Pemain berusia 26 tahun itu terkandas pada separuh akhir Klasik London dan dia sekali lagi tewas di suku akhir pada Terbuka Mesir, bulan lalu di tangan pencabar yang sama iaitu Amina Orfi dari Mesir.
Sivasangari yang berada di dalam program Road To Gold (RTG) merupakan harapan Malaysia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat yang julung kali memperkenalkan skuasy sebagai salah satu acara dipertandingkan pada temasya berprestij itu.
Sementara itu, dalam satu lagi suku akhir, giliran Aira pula berdepan dengan Amina yang menghuni ranking No. 5 dunia.
Aira yang berusia 21 tahun itu juga tidak mampu menghalang kemaraan bintang muda Mesir tersebut menerusi kekalahan straight set 4-11, 4-11, 9-11 dalam masa 34 minit.
Aira dan Amina merupakan seteru lama yang sering bertemu pada kejohanan di peringkat remaja dan dua tahun lalu, anak jati Kedah itu tumpas di tangan pemain berbakat besar tersebut pada perlawanan akhir Kejohanan Remaja Dunia. – UTUSAN