Siasatan SPRM terhadap Adlan Berhan selesai, hanya tunggu pulang hadapi pertuduhan

Siasatan SPRM terhadap Adlan Berhan selesai, hanya tunggu pulang hadapi pertuduhan

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli perniagaan yang kini diburu, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan serta peguamnya telahpun selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berhubung kes pecah amanah melibatkan menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah lengkap sepenuhnya dengan semua saksi telah dirakam keterangan.

“Siasatan sudah selesai. Semua kenyataan saksi telah diambil. Yang tinggal sekarang hanyalah menunggu Adlan dan peguamnya pulang untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Azam berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Mesyuarat Negara-Negara ASEAN Menentang Rasuah ke-21 (ASEAN-PAC) yang berlangsung di sini hari ini.

Beliau sebelum ini mengesahkan pasport Malaysia milik Muhammad Adlan telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan percaya individu berkenaan kini mungkin menggunakan pasport negara lain bagi tujuan pergerakan antarabangsa.

“Bagaimana beliau boleh bergerak ke luar negara itu berkemungkinan menggunakan pasport lain dan saya yakin bukan dokumen daripada Malaysia kerana arahan telah dikeluarkan agar pasport asalnya dibatalkan serta tidak boleh diperbaharui,” katanya.

Azam turut memaklumkan, kerjasama antara SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih diteruskan bagi mengesan keberadaan Adlan.

“Walaupun kes ini di bawah SPRM, tetapi seperti diumumkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, pihak polis juga sedang berusaha mengesan keberadaannya. 

“Kami tidak tahu di mana beliau berada sekarang, mungkin di luar negara termasuk Thailand seperti dilaporkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Adlan kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat susulan penyebaran gambar lelaki itu bersama individu kenamaan.

Sumber memaklumkan, Muhammad Adlan kerap dilaporkan keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×