Pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi sebuah kisah seram yang dialami oleh seorang kenalan bernama Basri. Cerita ini berlaku ketika dia sekeluarga pergi bercuti di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung pada hujung tahun 2012 lalu.
Kata Basri, kisah tersebut benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, malah selepas kejadian itu, dia sudah tidak berani lagi singgah sesuka hati di mana-mana kedai makan yang mencurigakan terutamanya pada waktu tengah malam.
Apa yang berlaku adalah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.
Begini ceritanya…
Memang sudah lama Basri dan isterinya Zurin merancang untuk pergi bercuti. Kebetulan pula ketika itu cuti penggal persekolahan jadi dapatlah dia bawa kedua orang anaknya sekali.
Kali ini mereka memilih Pantai Timur sebagai destinasi percutian, maklumlah negeri-negeri di sebelah sana memang kaya dengan budaya termasuklah pelbagai makanan tradisional yang sentiasa membuka selera.
Setelah empat hari menghabiskan cuti, akhirnya mereka pulang semula ke ibu kota. Masing-masing rasa puas hati dan seronok kerana dapat berjalan di serata tempat menarik sambil menikmati pelbagai makanan yang enak di sana.
“Bang, nanti kalau jumpa kedai makan di mana-mana kita singgah dulu. Saya sudah lapar ini,” kata Zurin kepada suaminya yang sedang khusyuk memandu.
Basri sekadar tersenyum dan mengangguk perlahan. Sebenarnya perut dia juga berkeroncong sama. Maklumlah sepanjang hari ini dia asyik memandu sahaja tanpa singgah di mana-mana, dan rasanya kali terakhir dia jamah makanan pun pada waktu tengah hari tadi.
Sesekali Basri jengah dan tinjau kalau-kalau ada kedai makan yang masih buka di sepanjang jalan. Dia jeling ke arah jam di papan pemuka kereta, sudah hampir 12 tengah malam.
Fikirnya kalau terjumpa mana-mana kedai makan berhampiran dia ingin terus berhenti, maklumlah sudah lewat malam begini pastinya banyak perniagaan yang sudah tutup, tambah pula di kawasan luar bandar.
Basri sengaja ikut laluan kampung berbanding lebuh raya kerana fikirnya di laluan tersebut pastinya banyak tempat yang boleh disinggah, terutamanya warung-warung yang menjual makanan, pasti lebih sedap dan banyak pilihan. Nanti bila sudah kenyang barulah dia masuk semula ke lebuh raya dan terus ke ibu kota.
Sebaik sahaja kenderaannya melewati lampu isyarat di sebuah pekan kecil, matanya terpandang ke arah sebuah kedai makan yang terletak di tepi jalan. Basri terus memperlahankan kenderaan dan intai seketika, nampak beberapa pelanggan sedang asyik menjamu selera di dalamnya.
Tanpa berlengah Basri terus beri isyarat membelok sebelum menuju masuk ke kawasan parkir di hadapan kedai tersebut.
Terus Basri mengejutkan isterinya yang sedang tidur di sebelah.
“Jom, kita singgah makan di sini. Nampak kedai ini macam meriah, lagipun nanti kalau sudah lewat susah pula hendak cari kedai yang masih buka,” kata Basri sambil mematikan lampu kenderaannya.
Isterinya Zurin lantas mengejutkan anaknya yang sedang tidur di kerusi belakang namun kedua anaknya memberitahu tidak mahu turun kerana masih kenyang lagi.
“Tak apalah bang, kita sajalah yang pergi makan. Budak-budak ini tidak lapar lagi agaknya atau malas bangun tidur,” kata Zurin kepada suaminya.
Basri mengangguk faham. Terus dia membuka sedikit cermin tingkap sambil memperlahankan penghawa dingin.
Tahu benar dia dengan perangai kedua anaknya itu, kalau sudah lena dibuai mimpi memang susah hendak dikejutkan, apatah lagi jika seharian penat berjalan.
Basri dan Zurin beriringan masuk ke dalam warung tersebut. Beberapa orang lelaki yang berjubah putih dan berserban memandang mereka sambil tersenyum memberi salam. Lantas Basri membalas salam sebelum duduk di meja berhampiran.
Belum pun sempat mereka membuat pesanan, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki masuk memberi salam. Kelihatan mereka juga berpakaian sama seperti kumpulan lelaki yang berada di meja tersebut, lengkap berjubah dan berserban.
Berkemungkinan mereka mengenali antara satu sama lain kerana saling bertegur sapa dan bertanya khabar. Nampak seperti mereka juga pelanggan tetap di warung tersebut kerana sikap ramahnya dengan pelanggan lain yang berada di situ.
Tidak lama kemudian datang seorang lelaki berkopiah ke arah meja Basri untuk mengambil pesanan. Disebabkan agak lapar Basri dan Zurin memesan nasi goreng serta minuman sejuk.
“Tidak salah kita pilih kedai makan ini nampaknya, tengoklah jadi tumpuan kariah masjid ini ” kata Basri kepada isterinya. – UTUSAN
bersambung..









