PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) pastinya menagih aksi cemerlang pemain sayap lincahnya, Faisal Halim yang ketika ini dilihat sudah berada di tahap terbaiknya menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA berdepan Negeri Sembilan, malam ini.
Faisal yang turut mesra disapa Mickey, kembali mempamerkan sentuhan berbisa bersama skuad Harimau Malaya selepas melalui detik hitam tahun lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu, kini berada dalam prestasi terbaik terutama pada jendela antarabangsa baru-baru ini dengan meledak dua gol ketika menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Faisal yang dimasukkan sebagai pemain gantian di Vientiane menjaringkan gol ketiga Malaysia, sebelum sepakan percumanya di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan kebangkitan untuk membelasah Laos 5-1.
Rentak itu pasti mahu dikekalkan Mickey bagi membantu SFC meraih bekalan selesa bagi aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Oktober ini.
Selangor dijangka tampil dengan keyakinan tinggi selepas beberapa kemenangan penting dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, mengakui semangat kental Faisal wajar dijadikan inspirasi kepada pemain muda lain dalam menghadapi tekanan dan cabaran di atas padang.
“Bukan mudah untuk bangkit selepas apa yang berlaku kepadanya, tapi Faisal buktikan dengan semangat luar biasa dan kualiti permainan yang semakin matang,” katanya. – UTUSAN