KEMAMAN: “Dia cuba menyelamatkan tiga anak saudara kami namun apabila ketiga-tiganya selamat, isteri saya pula semakin jauh ke tengah laut.”
Itu antara detik cemas dilalui Syafiq Azril Mohd. Nasis, 40, ketika menyedari isteri dan empat anak saudaranya dihanyutkan ombak ke lokasi yang lebih dalam ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal, di sini kira-kira pukul 3.50 petang semalam.
Kejadian itu meragut nyawa isterinya, Nor Hidayah Zakaria, 39, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kemaman kira-kira pukul 5.42 petang dan anak saudara mereka, Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.23 petang di Klinik Kesihatan Kijal.
Tiga lagi anak saudara Nor Hidayah, berusia lingkungan 14 tahun hingga 20 tahun yang hampir lemas, diselamatkan dengan bantuan ahli keluarga dan nelayan.
Syafiq Azril berkata, sebelum kejadian mereka bersama kira-kira 50 ahli keluarga barusahaja selesai mengadakan hari keluarga di Cherating, Pahang, singgah ke Pantai Penunjuk Kijal untuk menikmati ikan celup tepung.
“Sebenarnya kami tidak merancang untuk mandi, kami hanya mahu singgah makan kerana isteri teringin makan berhampiran pantai itu. Bagaimanapun, selepas selesai makan, kami beramai-ramai mandi di pantai itu kerana tertarik dengan pemandangannya yang cantik dan pasirnya juga landai, lagipun ombak tidak kuat.
“Ketika hampir satu jam mandi, tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara isteri saya yang meminta tolong. Saya berpaling dan melihat tiga anak saudara kami sedang berpaut pada isteri, sementara Urshia Medina berada tidak jauh dari mereka. Isteri saya cuba selamatkan semua ketiga-tiga anak saudara, bila mereka selamat, isteri pula semakin jauh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia cuba menyelamatkan isterinya dengan mengayuh sampan dibantu nelayan tempatan.
“Ada dua sampan digunakan, satu untuk selamatkan Urshia Medina dan satu lagi digunakan untuk selamatkan isteri saya. Tetapi semasa saya menghampiri isteri, dia sudah terapung. Bila dah selamatkan isteri, saya dan penduduk kampung cuba buat bantuan pernafasan (CPR) dalam 15 minit sebelum ketibaan pasukan perubatan. Ketika itu saya yakin isteri masih bernyawa, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam kemudian,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka isterinya ‘pergi’ dalam sekelip mata selepas mereka baru sahaja menerima berita gembira apabila isterinya yang merupakan jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran Kedah, disahkan bebas daripada kanser payudara, awal bulan lalu.
“Dia sebelum ini disahkan mengidap kanser payudara sejak tahun lalu dan kini sedang bercuti untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, doktor sahkan isteri saya bebas kanser baru-baru ini dan dia sangat gembira, dia berhasrat mahu kembali bekerja tahun hadapan. Sebelum dia mula bekerja, dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan hari keluarga di Cherating dan kami ke Kijal untuk makan, semua dia yang rancang.
“Segala hajatnya juga sempat saya tunaikan. Sebelum ini, apa sahaja yang dia mahu makan dan pergi ke mana, semua saya ikut dan saya tunaikan sebab saya terlalu sayangkan isteri. Kami sangat rapat, kami kenal selepas habis tingkatan lima, sejak 2002 dan berkahwin pada 2011, sudah 14 tahun berkongsi hidup bersama, namun Allah lebih sayangkan isteri dan saya reda,” katanya. – UTUSAN










