Salah ledak dua gol, bawa Mesir ke Piala Dunia 2026

Salah ledak dua gol, bawa Mesir ke Piala Dunia 2026

Penyerang Mesir, Ibrahim Adel (kiri) meraikannya bersama penyerang, Mohamed Salah selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 antara Djibouti dan Mesir di Stadium Larbi Zaouli di Casablanca, Maghribi hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Mohamed Salah terus membuktikan statusnya sebagai legenda hidup bola sepak Mesir apabila meledak dua gol untuk membantu negaranya menewaskan Djibouti 3-0 sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.

Bintang Liverpool berusia 33 tahun itu kini mengumpul sembilan gol sepanjang kempen kelayakan dua tahun yang menyaksikan Mesir muncul pendahulu Kumpulan A dengan kelebihan lima mata ke atas Burkina Faso.

Salah yang juga dua kali dinobat Pemain Terbaik Afrika, sebelum ini mengetuai Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ke-20 serta memenangi Kasut Emas dengan 29 jaringan musim lalu.

Namun, musim ini bersama Liverpool dia agak tenggelam dengan hanya tiga gol dalam sembilan penampilan di semua kejohanan, menjadikan aksi bersama skuad Firaun medan terbaik untuk mengembalikan sentuhan berbisa.

Ibrahim Adel membuka jaringan seawal minit kelapan sebelum Salah menambah gol kedua enam minit kemudian dan menutup kemenangan mutlak Mesir dengan gol ketiga pada minit ke-84.

Kejayaan itu menandakan kemunculan kelima Mesir di pentas Piala Dunia selepas 1934, 1990, 2018 dan kini 2026 yang mana satu pencapaian yang kembali meneguhkan reputasi mereka sebagai kuasa besar benua Afrika.

Sementara itu, Ghana semakin hampir mengikuti jejak langkah Mesir selepas membelasah Republik Afrika Tengah 5-0 dengan jaringan Thomas Partey, Jordan Ayew dan Kamaldeen Sulemana antara penyumbang utama.

Cape Verde pula hampir mencipta sejarah apabila seri 3-3 menentang Libya untuk kekal di tangga teratas Kumpulan D dan kini hanya selangkah lagi ke Piala Dunia pertama mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN