LONDON: Bukayo Saka menjadi wira England selepas meledak gol menakjubkan ketika menumpaskan Wales 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Anak buah Thomas Tuchel menampilkan aksi penuh keyakinan dengan menguasai sepenuhnya permainan, meneruskan rentak cemerlang selepas membelasah Serbia 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia bulan lalu.
Morgan Rogers membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum Ollie Watkins menggandakan kelebihan, manakala Saka melengkapkan kemenangan bergaya menerusi rembatan jarak jauh yang memukau.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Tuchel kini semakin mantap sejak jurulatih dari Jerman itu mengambil alih tugas daripada Gareth Southgate awal tahun ini.
Bagaimanapun, Tuchel kecewa dengan reaksi penyokong tuan rumah yang dianggap terlalu pasif biarpun pasukannya mendominasi perlawanan.
“Kami sudah mendahului 3-0 dalam perlawanan derby, tapi stadium tetap senyap. Kami tak dapat sebarang tenaga daripada penyokong.
“Kalau separuh jam hanya kedengaran sorakan penyokong Wales, ia menyedihkan kerana pasukan ini berhak menerima lebih banyak sokongan,” kata Tuchel.
England kini berada di landasan terbaik untuk menempah tiket automatik ke Piala Dunia 2026 selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan K aksi kelayakan. – AGENSI