KOTA TINGGI: Rokok dipercayai diseludup dijumpai dalam salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometeri 56 Lebuhraya Senai-Desaru yang meragut tiga nyawa pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 11.45 pagi melibatkan tiga kenderaan dan tiga individu maut.
Katanya kereta terbabit adalah sebuah Honda CRV dipandu perempuan warga tempatan berusia 25 tahun, Toyota Fortuner dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan Volkswagen Golf dipandu oleh seorang lelaki dan tiga penumpang lelaki yang belum dikenalpasti.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Fortuner masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan Desaru meghala ke Senai namun Honda CRV yang berada di laluan tersebut sempat mengelak.
“Sementara Volkswagen Golf yang berada di belakang Honda CRV gagal mengelak dan bertembung depan dengan depan dengan Toyota Fortuner.
“Kesemua mangsa terlibat kemalangan sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum terbakar. Toyota Fortuner disyaki membawa muatan rokok seludup dan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata dalam kemalangan itu pemandu dan seorang penumpang Volkswagen Golf meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).
Katanya pemandu Toyota Fortuner juga cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di HSI sementara pemandu Honda CRV tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut diminta untuk berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob di talian 011-3910 5277. – UTUSAN










