Ribut petir landa Sabah, penduduk diminta berwaspada

Ribut petir landa Sabah, penduduk diminta berwaspada

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daerah Tawau dan Sandakan dijangka berdepan ribut petir sehingga jam 1 tengah hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna, Kinabatangan serta Sandakan.

MetMalaysia menjangkakan keadaan cuaca tidak menentu itu akan berterusan sepanjang minggu ini, namun setakat ini tiada amaran banjir dan hujan berterusan dikeluarkan bagi kawasan terbabit.

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Amirzudi Hashim berkata, risiko banjir tetap ada sekiranya hujan berterusan.

“Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa mendengar nasihat daripada agensi bencana negeri.

“Ketepatan ramalan oleh MetMalaysia berada pada kadar antara 70 hingga 80 peratus, dan pemantauan terhadap ketepatan ini dilakukan setiap hari”, katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 10 pagi, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri Sabah, iaitu di daerah Sipitang dengan 16 keluarga terjejas.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di perairan Sabah.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan tiupan angin sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak setinggi 3.5 meter, sekali gus berbahaya kepada bot kecil.

Selain perairan Sabah, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran sama bagi perairan Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan utara Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN