Revolusi Harimau Malaya tidak gagal, tetap diteruskan

Revolusi Harimau Malaya tidak gagal, tetap diteruskan

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan tentang isu yang berlaku dalam bola sepak tanah air.-UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMI) menegaskan usaha memperkukuh struktur dan hala tuju bola sepak negara akan diteruskan.

Baginda menyifatkan perubahan yang berlaku ketika ini sebagai bukti jelas mengenai perkembangan positif skuad kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Jelas Baginda, kegagalan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan satu isu, sebaliknya perlu dilihat kepada kemajuan menyeluruh yang sedang berlaku dalam landskap bola sepak Malaysia, khususnya dari segi taktikal, teknikal dan semangat pemain.

“Saya rasa tidak gagal kerana kita boleh lihat sendiri. Kalau anda ingin bercakap tentang bola sepak, lihat struktur bola sepak kebangsaan di bawah Peter.

“Dulu kita tidak tahu apa identiti bola sepak kita. Hari ini anda boleh lihat formasi, struktur lebih mampan dari segi menyerang dan bertahan. Pemain-pemain tidak lagi keliru bagaimana mahu bermain. Mereka tahu sistem dan mereka fokus kepada sistem itu,” kata baginda.

Tunku Ismail menjelaskan, di bawah bimbingan Cklamovski, skuad Harimau Malaya kini memiliki identiti permainan tersendiri yang berpaksikan kepada disiplin taktikal dan kefahaman jelas mengenai struktur pasukan.

Baginda turut melihat peningkatan ketara dalam aspek teknikal serta pendekatan latihan yang kini dilaksanakan dengan lebih sistematik dan profesional.

“Dari segi teknik, teknikal dan taktikal saya lihat ada peningkatan. Tentang sesi latihan pula, ia dijalankan dengan lebih sistematik dengan adanya salah seorang doktor terbaik, Dr. Craig (Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan FAM),” ujar baginda.

Selain prestasi di padang, Tunku Ismail turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan pemain, termasuk peningkatan elaun bagi memastikan semangat mereka kekal tinggi ketika mewakili negara.

“Dari aspek semangat pemain, mereka juga menerima peningkatan elaun. Jadi, anda tidak boleh kata semua gagal hanya kerana isu melibatkan tujuh pemain itu,” kata baginda.

Mengulas mengenai kemelut tujuh pemain warisan yang kini dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), baginda menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan hak mereka mewakili Malaysia.

“Kalau tanya saya sendiri, saya akan berjuang untuk pemain ini kerana mereka rakyat Malaysia dan mereka berhak mewakili negara mereka.

“Kita tidak tahu apa yang akan diputuskan FIFA, tetapi kita akan terus berjuang. Ini bukan masa untuk menyalahkan A, B, C, FAM atau sesiapa. Saya hanya berminat mencari jalan penyelesaian untuk selesaikan masalah ini,” tegasnya.

Tambah Tunku Mahkota Ismail, menegaskan baginda tidak pernah menggelar usaha pembaharuan dalam bola sepak negara sebagai satu revolusi seperti yang dilabelkan oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, istilah itu sebenarnya dicipta oleh media, sedangkan niat sebenar baginda hanyalah untuk membantu pasukan kebangsaan serta rakan-rakan yang berada dalam kepimpinan FAM dan industri bola sepak tempatan.

“Untuk panggil benda ini satu revolusi, awak yang melabelkan benda ini revolusi. Saya tak pernah cakap benda ini revolusi bola sepak tanah air. Perkara ini media yang melabelkannya begitu.

“Saya hanya bantu pasukan kebangsaan dan sahabat-sahabat saya yang berada di dalam FAM dan juga industri bola sepak,” jelasnya.

Usaha membangunkan bola sepak negara bukan sekadar projek jangka pendek, tetapi satu perjuangan berterusan demi masa depan Harimau Malaya dan maruah sukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN