Ratcliffe beri Amorim tiga tahun buktikan kehebatan di Old Trafford

Ratcliffe beri Amorim tiga tahun buktikan kehebatan di Old Trafford

Jim Ratcliffe (kanan) dan Ruben Amorim (kiri). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe tampil mempertahankan pengurus Ruben Amorim apabila menegaskan beliau diberi tempoh tiga tahun untuk membuktikan keupayaannya mengembalikan zaman gemilang The Red Devils.

Amorim yang dilantik pada November tahun lalu kini berdepan tekanan hebat selepas prestasi hambar United musim ini, sekali gus mencetuskan desas-desus bakal dipecat.

Musim lalu, United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-15, kedudukan terburuk sejak 1974 selain tewas kepada Tottenham dalam final Liga Europa (UEL) yang menutup peluang mereka ke pentas Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, Ratcliffe menegaskan beliau tidak akan membuat keputusan terburu-buru dan mahu memberi ruang kepada Amorim membina semula skuad selepas mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag.

“Dia tidak melalui musim terbaik, tetapi Ruben perlu buktikan dia jurulatih hebat dalam tempoh tiga tahun, itu pendirian saya.

“Media selalu mahukan kejayaan segera, seolah-olah hanya perlu tekan suis dan semuanya akan jadi indah. Tapi anda tidak boleh urus kelab sebesar Manchester United dengan reaksi melulu terhadap laporan mingguan,” kata Ratcliffe.

Ahli perniagaan Britain itu turut menjelaskan fokus utamanya kini adalah menstabilkan struktur dan kewangan kelab sebelum membina skuad kompetitif untuk jangka panjang.

Ratcliffe yang memiliki 30 peratus saham United sejak Februari 2024, menegaskan pendekatannya bukan sekadar memburu kemenangan segera, tetapi memastikan kelab itu kembali dihormati di England dan Eropah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN