Projek rintis warden MRSM sepenuh masa terima maklum balas positif

Projek rintis warden MRSM sepenuh masa terima maklum balas positif

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek rintis warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau menunjukkan hasil positif apabila disiplin pelajar semakin baik dan tanggungjawab guru dapat dikurangkan.

Program perintis itu merupakan inisiatif Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memperkukuh pengurusan asrama serta memastikan pemantauan pelajar dijalankan dengan lebih menyeluruh, khususnya di luar waktu persekolahan.

Presiden Mara, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan warden sepenuh masa bukan sahaja membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar, malah membolehkan guru memberi tumpuan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Maklum balas awal daripada pihak sekolah menunjukkan pendekatan itu berjaya mengurangkan tekanan kerja guru yang sebelum ini turut memikul tanggungjawab sebagai warden sambilan.

“Apabila ada warden sepenuh masa yang fokus terhadap kebajikan dan disiplin pelajar, gurudapat menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab akademik, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan MRSM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) antara Mara, Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Hotel Wyndham Grand Bangsar di sini hari ini.

Projek rintis itu dilancarkan Ogos lalu dengan melantik veteran tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM Balik Pulau dan Besut bagi memperkukuh disiplin serta membanteras kes buli.

Jika keberkesanan projek rintis ini berterusan, Mara bercadang memperluas pelaksanaan warden sepenuh masa ke lebih banyak MRSM di seluruh negara secara berperingkat.

Ia turut seiring dengan usaha Mara memperkukuh ekosistem pendidikan berasrama penuh yang holistik, merangkumi pembangunan sahsiah, disiplin dan akademik pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN