PPPM 2025-2035 fokus pembinaan karakter, nilai manusiawi murid

PPPM 2025-2035 fokus pembinaan karakter, nilai manusiawi murid

MOHD AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025-2035 akan memberi fokus kepada aspek pembinaan karakter dengan menekankan aspek nilai manusiawi dan beradab dalam kalangan pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, perkara itu sejajar dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kelemahan ketara sistem pendidikan masa kini dan akan menerapkan perubahan tersebut dari segi cara kerja dan aspek pemikiran.

“Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kita melihat perkara-perkara yang asas yang perlu kita ambil tindakan.

“Sebab itu, apabila tamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kita akan keluarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025-2035 yang kita akan tegaskan dari aspek pembinaan karakter.

“Maknanya nilai-nilai manusiawi, nilai-nilai manusia yang beradab, kita akan berikan perhatian dan pada masa yang sama kita ada Kurikulum baharu 2027,” katanya menerusi sidang akhbar khas di KPM hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menegur sistem pendidikan negara yang menurutnya terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan peranan asas membentuk nilai moral dan kemanusiaan dalam diri pelajar.

Beliau menegaskan, warisan pendidikan yang terlalu berpaksikan pemikiran Barat menyebabkan generasi baharu lebih menilai kejayaan dari segi material dan penguasaan modal, bukan pada dimensi nilai dan akhlak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azam berkata, KPM akan mengeluarkan satu garis panduan keselamatan sekolah yang komprehensif pada Disember ini selepas mengumpulkan keseluruhan dapatan daripada Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.

Beliau berkata, cadangan untuk mewajibkan premis sekolah untuk dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) juga akan dipertimbangkan dalam perangkaan garis panduan berkenaan.

“Kita akan lihat nanti daripada pemantauan jawatankuasa khas keselamatan itu antara usaha kita untuk dapatkan peruntukan untuk CCTV,” katanya.

KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, jawatankuasa itu ditubuhkan khusus untuk menangani isu-isu keselamatan yang timbul, selain merangka penyelesaian komprehensif demi menjamin kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN