PGAM bangkit semula: Jelajah Profesional kembali tahun depan

PGAM bangkit semula: Jelajah Profesional kembali tahun depan

BARISAN Kepimpinan baharu Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (PGAM) diketuai Halim Muazzam Ayob.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (PGAM), Datuk Halim Muazzam Ayob menegaskan pelantikan barisan kepimpinan baharu bukan sekadar perubahan individu, sebaliknya kesinambungan terhadap usaha terdahulu untuk memperkukuh peranan PGAM di arena golf profesional negara.

“Ini pasukan baharu tetapi bukan sesuatu yang asing. Ia kesinambungan daripada barisan kepimpinan dan Ahli Majlis sebelum ini.

“Apa yang telah dirancang, kita akan perhalusi serta tingkatkan agar PGA of Malaysia kembali berada di tahap lebih tinggi,” katanya.

Halim berkata, barisan 11 Ahli Majlis baharu beriltizam untuk mengembalikan semula kegemilangan PGAM selepas beberapa tahun aktiviti penganjuran kejohanan tempatan agak suram.

Menurutnya, langkah pertama ke arah kebangkitan itu ialah penganjuran semula Jelajah Profesional bermula Januari 2026, yang bakal menjadi platform utama kepada pemain tempatan menonjolkan kemampuan masing-masing.

“Penganjuran jelajah ini penting bagi menghidupkan kembali semangat kompetitif dalam kalangan pemain profesional tanah air. Ia juga membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” jelasnya.

Selain kejohanan, PGAM turut merancang memperkenalkan program pensijilan tenaga pengajar profesional bagi memperkukuh bidang kejurulatihan dan pembangunan pemain.

“Malaysia mempunyai lebih 200 lapangan golf. Kami mahu bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan ahli profesional yang tidak lagi aktif bertanding dapat terus menyumbang melalui bidang kejurulatihan serta pembangunan akar umbi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PGAM, Airil Rizman Zahari menegaskan tiada pertindihan fungsi antara PGAM dan Persatuan Golf Malaysia (MGA).

“MGA akan terus fokus kepada kejohanan peringkat amatur dan penganjuran Terbuka Malaysia, manakala PGAM kekal sebagai badan yang mewakili pemain profesional serta menganjurkan kejohanan-kejohanan berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Halim mengumumkan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Penaung Diraja PGAM, yang bakal memainkan peranan penting dalam aspek pemasaran dan penjenamaan semula organisasi berkenaan.

PGAM dijangka mengadakan mesyuarat pertama pertengahan bulan ini bagi memperincikan kalendar kejohanan serta strategi pelaksanaan program pembangunan profesional.

“Kami tidak mahu sekadar memperkenalkan sesuatu yang baharu, tetapi mahu mengembalikan semangat serta kejohanan yang pernah menaikkan nama PGAM satu ketika dahulu,” tegas Halim.

Barisan kepimpinan yang dipilih adalah seperti berikut:

Presiden : Dato’ Halim Muazzam bin Datuk Ayob
Naib Presiden (Vokasional) : Chong Chee Ming
Naib Presiden (Touring) : Airil Rizman Zahari
Setiausaha Kehormat : Farid Dato’ Rashid
Bendahari Kehormat : Rahizam Ramli
Ahli Majlis (Vokasional):
1.Jonathan Wong
2.Lim Ai Lian
3.Dinie Zaki

Ahli Majlis (Touring):
1.Razli Yahya
2.Dinata Abdillah
3.M. Sasidaran

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN