SERDANG: Sebuah pesawat dari Israel dijadual mendarat di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye sekitar pukul 3 petang waktu tempatan hari ini membawa sekumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) dari 22 negara termasuk sembilan aktivis Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, maklumat itu diterima daripada pusat kawalan FFC di Turkiye yang dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Luar Negeri Turkiye.
Menurut beliau, pesawat berkenaan turut dijangka membawa enam aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) masing-masing tiga dari Norway, dua dari Maghribi dan seorang dari Sepanyol.
“Kesemua aktivis Malaysia dilaporkan dalam keadaan sihat seperti maklumat yang kami terima sebelum ini.
“Peguam yang dilantik juga telah berjaya menemui mereka walaupun belum secara terperinci, mungkin kerana waktu bekerja di Istanbul baru bermula.
“Kami menjangka akan menerima maklumat lebih lengkap dalam satu atau dua jam lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihak MyCARE sedang berhubung dengan keluarga aktivis bagi membuat persiapan sekiranya perlu menghantar wakil ke Istanbul.
“Saya bersama dua ke tiga orang wakil akan berangkat ke Istanbul malam ini bagi menyalurkan bantuan pakaian kepada delegasi.
“Sekiranya ada aktivis yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dirawat terlebih dahulu di sana,” katanya.
Menurutnya, jika semua delegasi dalam keadaan sihat, pihaknya akan membantu urusan kepulangan mereka ke Malaysia dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi.
Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang terbabit dalam misi kemanusiaan FFC dan Thousand Miles to Gaza (TMTG) ialah Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC disahkan telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel, manakala kesemua 145 aktivis di atas kapal berkenaan, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel. – UTUSAN