PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan bantuan hampir RM1.4 bilion untuk disalurkan kepada orang kelainan upaya (OKU) kronik terlantar, tiada upaya bekerja dan elaun pekerja.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tahun ini juga kerajaan akan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di Semenanjung.
“Operasi PPA akan diperluas ke Labuan, Sabah dan Sarawak untuk manfaat 13,000 OKU autisme dan keluarga mendapatkan sokongan bersepadu.
“Prasarana komited menyediakan 100 van mobiliti khas untuk memudahkan pergerakan golongan OKU. Van ini berupaya membawa sehingga tiga penumpang berkerusi roda dan dilengkapi dengan sistem pengangkat kerusi roda.
“Kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal serta rawatan pemulihan berterusan bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun ke bawah dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM6,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










