SEREMBAN: Penganjuran Perpatih Fest oleh kerajaan Negeri Sembilan bertujuan memperkasa dan memartabatkan warisan Adat Perpatih menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Festival Adat Perpatih Paling Lama.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja membanggakan rakyat Negeri Sembilan, tetapi turut menjadi simbol kejayaan negeri mengekalkan keunikan Adat Perpatih sebagai identiti budaya yang masih subur sehingga kini.
“Kita melihat Adat Perpatih telah diangkat di setiap suku masing-masing. Ini satu perkara penting supaya setiap suku dapat mengangkat adat ini dengan baik dan menjadikan supaya adat ini terus berkembang.
“Kita tidak mahu kerana pembangunan, kemajuan dan teknologi, kita terpinggir. Kita hendak Adat Perpatih ini terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest 2025 di Muzium Negeri di sini, hari ini.
Perpatih Fest 2025 bertemakan Adat Dihayati Warisan Dilestari merupakan penganjuran kali ke-25 oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan selepas mula diadakan pada tahun 2000.
Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tiga hari penganjuran Perpatih Fest termasuklah demonstrasi dan jualan masakan setiap luak, pertandingan permainan tradisional dan persembahan kesenian dan kebudayaan
Aminuddin berkata, usaha memartabatkan Adat Perpatih telah memperlihatkan kesungguhan setiap suku dalam memastikan adat yang diwarisi turun-temurun terus dipraktikkan dan disemai dalam kalangan generasi muda.
“Inilah adat kita yang harus kita wariskan kepada anak bangsa di Negeri Sembilan. Saya yakin bahawa anak-anak muda pun hari ini mula tertarik dan apa yang paling penting sekolah-sekolah telah mengadakan program Adat Perpatih serta menubuhkan kelab Adat Perpatih masing-masing,” katanya.
Aminuddin berkata, perkembangan positif itu membuktikan minat golongan muda terhadap warisan adat semakin meningkat, selain membantu memberi kefahaman dan kebanggaan terhadap budaya Negeri Sembilan. – UTUSAN










