Pembentangan Belanjawan 2026 pukul 4 petang ini

Pembentangan Belanjawan 2026 pukul 4 petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang merupakan belanjawan pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dibentang Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim, pukul 4 petang ini.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat dalam Kerajaan Madani, akan menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi platform berita Utusan Malaysia, stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.

Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan Madani sebelum ini.

“Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi Madani, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat, serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

“Dalam mendepani ketidaktentuan global serta persaingan semakin sengit, tumpuan Belanjawan 2026 akan terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang.

“Di samping, fokus juga akan ditekankan kepada usaha menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi negara,” katanya menerusi laman sesawang khas Kementerian Kewangan.

Pada masa sama, kenyataan Prabelanjawan 2026 turut memaklumkan bahawa usaha akan diambil bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat melalui bantuan lebih bersasar yang berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.

Anwar Ibrahim menegaskan, Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan utama kepada usaha membela nasib rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada editor media di sini, Rabu lalu menjelang pembentangan belanjawan keempat Kerajaan Madani hari ini.

Menurut takwim Parlimen Malaysia, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-ahli Parlimen selepas pembentangan.

Sesi penggulungan oleh kementerian dijadualkan berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November depan, sebelum perbahasan pada Peringkat Jawatankuasa diadakan dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan di Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN