Pelan damai Trump merupakan ancaman - Mahathir

Pelan damai Trump merupakan ancaman – Mahathir

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Damai 20 Perkara mengenai Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanyalah satu ancaman kepada rakyat Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelan damai itu menurut beliau adalah idea jelas Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mahu mengambil alih Gaza sekali gus mahu rakyat Palestin menyerah kalah.

“Bagaimana kedua-dua perancang ini menjangka Hamas akan bersetuju dan menerima penyelesaian itu adalah sesuatu yang sukar untuk difahami. Gaza telah kehilangan lebih 60,000 nyawa akibat pengeboman Israel.

“Apa yang dicadangkan oleh Trump dan Netanyahu akan menjadikan semua nyawa yang terkorban dan kemusnahan total Gaza sebagai sia-sia. Pengorbanan mereka akan menjadi tidak bermakna.

“Saya tidak akan terkejut jika Hamas menolak cadangan ini. Pembunuhan beramai-ramai akan diteruskan, malah dengan sokongan lebih kuat dari AS,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr. Mahathir mendakwa Trump bukan seorang pemimpin berjiwa pendamai kerana sering memberikan ancaman ekonomi dan politik terhadap negara lain.

“Trump menggunakan ancaman tarif tinggi, sekatan ekonomi dan pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak-pihak berhenti berperang.

“Tetapi beliau ternyata sudah gagal. Perang di Ukraine dan pembunuhan masih berterusan. Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel juga akan berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN