Pelaksanaan agihan peruntukan harus telus

Pelaksanaan agihan peruntukan harus telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menyokong ekosistem kreatif digital khususnya dalam bidang animasi dan permainan digital tempatan merupakan langkah tepat bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap Pengarah Ejen Ali The Movie 2, Usamah Zaid Yasin berkata, pengiktirafan kerajaan terhadap industri animasi sebagai sektor berpotensi besar itu amat dihargai.

“Saya menghargai sokongan kerajaan yang kembali mengenali industri animasi sebagai sektor yang berpotensi dan harap peruntukan ini dapat merangsang lebih banyak penghasilan karya yang mengangkat negara ke peringkat global.

“Saya juga menyambut baik langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk serta kandungan digital tempatan, yang mana ia juga satu peluang memperkukuhkan kedudukan dan daya saing harta intelek (IP) tempatan,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap pengasas dan penerbit Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Datuk Burhanuddin Md. Radzi turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan tersebut, namun menegaskan bahawa pelaksanaan dana mesti dilakukan secara telus dan bertanggungjawab.

“Bagus kalau kita dapat (dana), tetapi kita mesti pastikan pelaksanaannya juga bagus dan orang yang menjaga dana itu bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya,  masalah yang sering timbul adalah apabila dana diberikan kepada pihak yang tidak layak, menyebabkan hasil produk yang terhasil gagal mencapai standard.

“Masalahnya sekarang, banyak dana diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya. Akibatnya, semua produk jadi ‘hampas’, itu yang jadi masalah. Berikutan itu, saya harap pelaksanaan dana mesti telus. 

“Jangan bagi kepada orang yang tidak tentu arah atau tidak mampu melaksanakan dengan baik,” katanya lagi.

Datuk Burhanuddin turut menegaskan bahawa agensi pelaksana seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu memainkan peranan secara amanah bagi memastikan hasil yang berkualiti.

“Macam contohnya Finas, pelaksana dana harus betul dan amanah supaya hasilnya berkualiti,” tegasnya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi menyokong Ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.

Selain itu, bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan juga bersetuju memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk dan kandungan digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×