Pecco ungguli perlumbaan pecut pada GP Malaysia

Pecco ungguli perlumbaan pecut pada GP Malaysia

Francesco Bagnaia mengungguli perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesca Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco mengharungi hari cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang, selepas dia mengungguli perlumbaan pecut pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hari ini.

Juara dunia dua kali itu yang bermula dari petak hadapan memecut laju sejak awal perlumbaan 10 pusingan itu lagi dan mencatat masa terpantas 19 minit 53.752 saat (s).

Alex Marquez dari pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP muncul sebagai naib juara (+2.259s), manakala, di tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukannya, Fermin Aldeguer (+3.138s).

Prestasi dominan yang dipamerkan Pecco, hari ini, menjadi satu amaran awal buat pencabarnya bahawa dia berpotensi besar untuk mengulangi kejuaraan yang dirangkul pada GP Malaysia edisi lalu menjelang perlumbaan, esok.

Walaupun beraksi cemerlang, Pecco lebih selesa merendah diri apabila mendedah pasukannya masih bergelut bagi mendapatkan prestasi jentera yang mereka mahukan.

“Pasukan saya memang layak mendapat keputusan seperti ini kerana saya rasa bukan saya seorang yang bergelut, mereka juga menghadapi kesukaran untuk memahami situasi sebenar,” katanya ketika ditemu bual selepas perlumbaan pecut berakhir.

Menurut pelumba kelahiran Itali itu, sukar untuk kru pasukannya memahami isu jentera Ducati yang sering mempamerkan prestasi tidak konsisten sepanjang musim ini.

“Tidak mudah untuk memahami segala-galanya, seminggu lalu kami bergelut, begitu juga, semalam, kami masih perlu mengharungi sedikit kesukaran.

“Bagaimanapun, mujur hari ini jentera mula beraksi kompetitif, jadi, kami perlu mencari punca sebenar isu yang berlaku kerana bagi saya tiada siapa pernah mengalami situasi yang kami sedang alami,” katanya.

Bagnaia berharap, dia dan pasukan akan kekal fokus dan percubaannya untuk melakukan sesuatu yang berbeza setakat ini membuahkan hasil positif.

Sementara itu, pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP meraikan kejayaan Marquez yang mengesahkan kedudukan naib juara MotoGP menjadi milik pelumba Sepanyol itu selepas mengumpul 388 mata.

Apa yang lebih manis, rakan sepasukan, Aldeguer dinobatkan sebagai ‘Rookie of the Year’ bagi musim 2025 sejurus dia mengesahkan kedudukan kelapan dalam carta keseluruhan kejuaraan dengan mengumpul 190 mata.

Kemenangan Bagnaia pula membolehkan dia merampas kedudukan ketiga dalam carta keseluruhan dengan 286 mata, mengatasi Marco Bezzecchi dengan kelebihan hanya satu mata (285 mata) yang kini jatuh ke tangga keempat.

Dalam pada itu, bagi sesi kelayakan Moto2 pula, pelumba CFMoto RCB Aspar Team, Daniel Holgado menempah petak pertama selepas mencipta masa sepusingan terpantas 2:02.858s, manakala, tempat kedua dan ketiga menjadi milik, Barry Baltus dari pasukan Fantic Racing (2:03.420s) serta Jake Dixon dari ELF Marc VDS Racing Team (2:03.449s). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN