PDRM kekal teguh mendukung dasar kerajaan perkukuh keselamatan

PDRM kekal teguh mendukung dasar kerajaan perkukuh keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan pembentangan Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, sebaliknya iltizam kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara serta memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan serta komitmen berterusan yang dizahirkan melalui pengumuman Belanjawan 2026.

Katanya, pengumuman peruntukan sebanyak RM21.2 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencerminkan tekad padu kepimpinan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah watan yang stabil, sejahtera dan berdaya saing.

Jelasnya, PDRM menjangkakan peruntukan berkenaan memberi impak positif terhadap kebajikan, prasarana dan kecekapan perkhidmatan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Antara peruntukan penting yang diumumkan ialah sebanyak RM1 bilion untuk menyelenggara dan membeli aset PDRM serta badan beruniform di bawah KDN, termasuk perolehan 100 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk risikan dan operasi PDRM dan bot ronda Fast Patrol Vessel untuk Pasukan Polis Marin (PPM).

Selain itu, pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan peruntukan melebihi RM1.5 bilion.

“Antaranya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik, Perak; Pembaharuan kompleks bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin di Labuan; Bangunan tambahan Batalion 23, Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman, Sarawak; dan tiga pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Khalid berkata, peruntukan turut diberikan bagi Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber yang akan digubal bagi menangani jenayah siber secara menyeluruh.

“Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh kedaulatan digital serta keselamatan siber negara.

“Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini dikemudi secara langsung oleh PDRM bagi memastikan pengendalian kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap, dengan peruntukan RM12 juta.

“Peranan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM diperkasa dalam menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber dengan peruntukan RM20 juta bagi memodenkan sistem dan kepakaran forensik digital, selain menubuhkan Behavioural Science Unit untuk menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah,” katanya.

Tambah Mohd. Khalid, dalam aspek kebajikan, kemudahan perumahan penjawat awam turut ditambah baik menerusi peruntukan RM2.2 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters termasuk untuk polis, tentera, doktor, jururawat, guru, bomba dan penjara.

“Selain perolehan rumah untuk dijadikan kuarters kepada anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, Sabah, serta anggota imigresen di Lipis, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026, dijangka memanfaatkan 48,000 penjawat awam muda berumur bawah 30 tahun.

“Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA dinaikkan kepada RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji dan kenaikan harga pasaran hartanah.

“Pembiayaan kali kedua dipermudah tanpa perlu menyelesaikan pembiayaan pertama tertakluk kepada baki kelayakan, berkuat kuasa seawal suku keempat 2026,” jelasnya.

Mohd Khalid berkata, sebagai institusi penguatkuasaan utama negara, PDRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diterima dengan penuh amanah, integriti dan disiplin kewangan yang tinggi.

“Setiap sen peruntukan akan dimanfaatkan secara optimum demi memperkukuh sistem keselamatan nasional serta menjamin kesejahteraan umum,” katanya.

PDRM turut menegaskan pihaknya kekal teguh mendukung dasar-dasar kerajaan dalam kerangka Ekonomi Madani, berteraskan nilai profesionalisme, integriti dan kesejahteraan rakyat.

“PDRM akan terus mengangkat martabat perkhidmatan kepolisan agar selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara aman, makmur dan dihormati di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN