KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kes kematian kanak-kanak baru-baru ini mempunyai kaitan dengan jangkitan virus influenza A.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Samarahan dan seorang lagi berusia 11 tahun di Terengganu disahkan positif virus berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada influenza menjadi faktor utama.
“Ya ada dua kes kematian yang ada terkaitan dengan influenza, kedua-duanya telah dikesani penyakit mengalami influenza A ini.
“Namun dari sudut apa yang dikatakan sebagai faktor penyebab ataupun sebab kematian itu perlu perlu dikenal pasti. Bagi menentukan sama ada ia penyebab utama kematian, ia perlu melalui proses mortality review (mengesahkan punca sebenar kematian) untuk menilai faktor sebenar yang menyebabkan kematian tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Simpang Pulai) adakah terdapat kematian pelajar yang dilaporkan di media berpunca daripada virus influenza.
Mengulas lanjut, katanya lagi, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan kesihatan, sejarah perubatan, serta faktor penyumbang lain yang mungkin berkaitan dengan kematian kedua-dua kanak-kanak berkenaan.- UTUSAN