KUALA LUMPUR: Malaysia kini berpeluang melebarkan pengaruh dalam dunia sukan Islam selepas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA), Khamis lalu.
Pelantikan itu dilihat membuka ruang besar buat negara bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), malah menjadi batu loncatan ke arah penganjuran Sukan Perpaduan Islam pada masa depan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara kita (mengenai perlantikannya). Saya yakin bahawa ini merupakan salah satu cara untuk kita menyumbang kepada sukan di peringkat antarabangsa.
“Mungkin satu hari nanti kita dapat menjadi tuan rumah kepada sukan tersebut kerana ianya melibatkan 57 negara dari benua Afrika dan Eropah sekali gus menjadi peluang untuk kita lebih aktif kepada sukan ini,” kata Norza selepas acara larian Hari Olimpik di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sukan Perpaduan Islam 2025 dijadualkan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi dari 7 hingga 21 November, melibatkan 23 acara termasuk sukan tradisional dan moden seperti olahraga, renang, taekwondo serta perlumbaan unta.
Pelantikan Norza turut mendapat perkenan Presiden ISSA, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal yang juga Menteri Sukan Arab Saudi, sekaligus mengiktiraf sumbangan beliau terhadap integriti dan tadbir urus sukan di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Zon Asia Tenggara menegaskan Malaysia akan terus aktif dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui platform sukan sebagai wahana perpaduan dunia Islam.
Dalam pada itu, Norza turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur Hari Olimpik yang menarik penyertaan lebih 2,000 peserta tempatan dan luar negara, sebagai bukti semangat kesukanan rakyat Malaysia semakin kukuh.
“Walaupun kita ada isu dari segi trafik, sambutan daripada kalangan penggiat sukan amat memberangsangkan dengan lebih 2,000 orang hadir termasuk peserta luar negara. Ini satu perkembangan yang sihat untuk sukan negara,” katanya. – UTUSAN










