LOS ANGELES: Bintang Argentina, Lionel Messi kekal memegang status sebagai pemain bergaji tertinggi dalam Major League Soccer (MLS) selepas senarai gaji terkini yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain MLS (MLSPA) menunjukkan dia menerima pendapatan tahunan AS$20.4 juta (RM97 juta) bersama Inter Miami.
Jumlah itu jauh mengatasi pemain lain di liga tersebut dan tidak termasuk pendapatan tambahan hasil penajaan serta bonus komersial yang termaktub dalam kontrak ditandatangani Messi ketika menyertai Miami pada pertengahan 2023.
Kontrak semasanya akan tamat Disember ini sebelum disambung untuk tempoh tiga musim lagi bermula tahun depan.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or berusia 38 tahun itu, baru sahaja menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak MLS dengan 29 gol dalam 28 perlawanan, sekali gus dijangka mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) liga.
Tempat kedua, diduduki bintang Korea Selatan, Son Heung Min, yang kini bersama Los Angeles FC (LAFC) dengan gaji tahunan AS$11.1 juta (RM52.7 juta).
Bekas kapten Tottenham Hotspur itu berpindah ke LAFC pada Ogos lalu menerusi perpindahan termahal dalam sejarah MLS bernilai sekitar AS$26 juta (RM123.5 juta), dan segera memberi impak dengan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk membawa pasukannya ke MLS Cup Playoff.
Sementara itu, pemain tengah Sepanyol, Sergio Busquets, yang bakal bersara hujung musim ini turut tersenarai di tempat ketiga dengan pendapatan AS$8.7 juta (RM41.3 juta), manakala Miguel Almiron (Paraguay, AS$7.8 juta) dan Hirving ‘Chucky’ Lozano (Mexico, AS$7.6 juta) melengkapkan lima teratas selepas menyertai Atlanta United dan San Diego FC musim ini.-AGENSI










