Melaka angkat Festival Seni Selat Melaka sebagai acara tahunan

Melaka angkat Festival Seni Selat Melaka sebagai acara tahunan

AB. Rauf Yusoh (tengah) melakukan gimik perasmian sempena Festival Seni Selat Melaka di Dataran Pengkalan Rama Pantai, Melaka, malam tadi. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka komited memastikan Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka dijadikan acara tahunan berskala lebih besar dan berimpak tinggi dalam usaha memperkukuh pelancongan budaya negeri menjelang Tahun Melawat Melaka serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keputusan itu selari dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai peneraju pelancongan budaya dan warisan yang unggul di peringkat serantau.

“Kerajaan Negeri Melaka komited memastikan Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka diangkat sebagai acara tahunan berskala lebih besar dan berimpak tinggi.

“Kita mahu festival ini kekal menjadi pentas pemerkasaan pelancongan budaya yang mencerminkan identiti Melaka sebagai pusat peradaban Melayu yang ulung di dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini malam tadi.

Beliau berkata, penganjuran festival kali ini membuktikan kekuatan kolaborasi strategik apabila lebih 30 acara budaya, warisan, sukan rakyat dan kerohanian berjaya menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Dalam pada itu, kata Ab. Rauf, momentum pelancongan Melaka terus memberangsangkan apabila negeri ini merekodkan 13.5 juta pelancong setakat September tahun ini, meningkat 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan hasil perbelanjaan pelancong mencecah RM14.42 bilion.

“Konsep ‘Pay Less, See More’ akan memperkasa pengalaman pelancong, bayar satu harga tetapi menikmati pelbagai produk pelancongan utama Melaka.

“Ini bukan sekadar strategi promosi, tetapi model pelancongan mampan yang menguntungkan ekonomi rakyat, komuniti setempat dan warisan negeri untuk jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN