PETALING JAYA: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa supaya satu rangka kerja saintifik kebangsaan diwujudkan bagi membimbing pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 secara lebih berkesan dan berasaskan bukti kukuh.
Presidennya, Prof. Dr. Murallitharan Munisamy berkata, rangka kerja itu penting bagi memperkukuh aspek kawal selia, promosi kesihatan serta penyelidikan lapangan agar pelaksanaan akta berjalan selaras dengan realiti semasa.
“Kerjasama antara institusi akademik tempatan dan antarabangsa, masyarakat sivil serta agensi kerajaan amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar ini benar-benar membawa hasil terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Antara fokus utama ialah pemantauan pematuhan terhadap larangan paparan runcit, kawalan produk tembakau serta pelaksanaan program berhenti merokok dan berhenti vape di semua peringkat masyarakat.
Murallitharan berkata, penyelidikan saintifik perlu dijalankan bagi menilai keselamatan dan kualiti produk tembakau di pasaran, selain menyediakan bukti bagi penambahbaikan dasar kesihatan awam.
“Sebagai pemegang taruh utama, MCTC bersama Malaysian Medical Association Action on Smoking and Health (ASH), National Cancer Society Malaysia dan NCD Malaysia akan giat menjalankan penyelidikan pelaksanaan dalam bidang kawalan tembakau,” katanya.
Justeru katanya, kerjasama dengan Sunway Biofunctional Molecules Discovery Centre (SBMDC), Universiti Sunway bakal memberi tumpuan awal kepada kajian tahap pematuhan larangan paparan runcit di seluruh negara.
Usaha itu, akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan pelaksanaan langkah kesihatan awam berjalan lancar dan berkesan.
Mulai 1 Oktober lalu, akta berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya, termasuk peraturan baharu terhadap rokok elektronik (e-rokok) dan vape.
“Sejarah kawalan tembakau membuktikan dasar berasaskan bukti saintifik memberi hala tuju jelas dalam menangkis naratif industri yang mendakwa produk alternatif kononnya ‘selamat’, sedangkan terbukti berbahaya di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN







