KEMAMAN: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy menjadikan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sebagai pentas kebangkitan selepas berdepan masalah kesihatan serius tahun lalu, apabila kini memburu kejuaraan hatrik jersi putih.
Pelumba kelahiran Kazakhstan itu kembali menguasai saingan pelumba Asia selepas merampas jersi putih pada peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh, semalam.
Pronskiy, 27, bukan nama asing di LTdL apabila pernah menjuarai kategori tersebut pada edisi 2019 dan 2023.
Namun, perjalanan kariernya hampir terhenti selepas disahkan mengalami pericarditis, iaitu radang pada lapisan jantung, susulan jangkitan Covid-19.
“Saya pernah dimasukkan ke hospital beberapa minggu dan terpaksa berhenti berbasikal selama tiga bulan untuk rawatan. Syukur sekarang saya kembali cergas dan berada di tahap terbaik,” katanya.
Bagi Vadim, menyarung semula jersi putih bersama TSG memberi makna cukup besar kerana Malaysia dianggap sebagai rumah keduanya.
“TSG adalah keluarga saya dan LTdL ialah perlumbaan di halaman sendiri. Saya mahu kekalkan jersi ini hingga ke penghujung saingan, tetapi kami masih ada satu peringkat mendaki (peringkat lima) yang akan jadi penentu,” jelasnya.
Momen paling diingati peminat tempatan ialah ketika Vadim mengejutkan ramai pihak dengan menamatkan perlumbaan peringkat ratu di Genting Highlands 2019 di tempat keempat, hanya kurang seminit di belakang Benjamin Dyball yang kemudiannya muncul juara keseluruhan.
Bagaimanapun, LTdL edisi ke-29 kali ini tidak menyajikan pendakian Genting sebaliknya, Bukit Fraser bakal menjadi destinasi pendakian utama pada peringkat kelima dari Temerloh, yang dijangka menjadi medan ujian sebenar buat pelumba TSG itu. – UTUSAN