PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 5,000 akauntan profesional Bumiputera dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pelaksanaan pelbagai program latihan, biasiswa dan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan serta badan profesional antarabangsa.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional dalam kalangan Bumiputera yang diiktiraf di peringkat global.
“Melalui institusi pendidikan Mara seperti Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Profesional Mara, kita memastikan anak-anak Bumiputera bukan sekadar memperoleh ijazah, tetapi juga memiliki sijil profesional sepert Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) yang diiktiraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mara, Pusat Perakaunan Profesional (MyPAC) dan ACCA yang diadakan di Hotel Wyndham Grand Bangsar, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Asyraf, kerjasama itu turut melibatkan pelaksanaan pelbagai program intervensi di peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang perakaunan profesional sejak peringkat awal.
“Kita tidak mahu mereka berhenti setakat memperoleh ijazah sahaja. Kita mahu mereka melangkah lebih jauh dengan mendapatkan sijil profesional yang membuka peluang lebih luas di pasaran kerja,” katanya,
Katanya, daripada kira-kira 65,000 akauntan berdaftar di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA), hanya 25,000 individu memiliki sijil profesional, dan daripada jumlah itu, hanya sekitar 3,000 orang merupakan Bumiputera.
“Mara akan memanfaatkan ekosistem pendidikan sedia ada termasuk Kolej Profesional Mara, UPTM dan UniKL bagi mempertingkat pengeluaran graduan yang bukan sahaja bertaraf profesional, malah memiliki kelayakan antarabangsa seperti ACCA,” katanya.
Mara turut memberi keutamaan kepada pelajar MRSM yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mempunyai minat terhadap perakaunan profesional.
“Kita akan utamakan mereka yang sudah berada dalam sistem Mara, namun pelajar sekolah lain juga boleh memohon melalui program profesional di bawah Kolej Profesional Mara, UniKL dan UPTM,” katanya. – UTUSAN










