Manchester United bakal dijual?

Manchester United bakal dijual?

Manchester United dikatakan bakal dijual kepada pembeli dari Arab Saudi.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Desas-desus mengenai penjualan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United kembali hangat apabila Pengerusi Penguasa Hiburan Am Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, memuat naik kenyataan mengejutkan di platform X Rabu lalu yang memberi bayangan kelab itu bakal dimiliki pelabur baharu.

Al-Sheikh, individu berpengaruh yang bertanggungjawab membawa pelbagai acara sukan bertaraf dunia ke Arab Saudi, difahamkan sedang berbincang dengan pihak United mengenai perlawanan persahabatan sempena Musim Riyadh yang bakal bermula minggu ini.

“Berita terbaik yang saya dengar hari ini ialah Manchester United kini berada di peringkat akhir untuk menjual kepada pelabur baharu dan saya harap dia lebih baik daripada pemilik sebelumnya,” tulis Al-Sheikh.

Namun, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak kelab mengenai dakwaan tersebut. Malah, tidak jelas sama ada kenyataan Al-Sheikh itu sekadar spekulasi atau isyarat kepada rundingan sebenar antara pihak pengurusan United dan pelabur baharu.

Ketika ini, majoriti pemilikan kelab masih dipegang oleh keluarga Glazer, yang tahun lalu menolak tawaran pengambilalihan penuh oleh konsortium Qatar diketuai Sheikh Jassim Al-Thani, sebaliknya menjual 27.7 peratus saham kepada jutawan British, Sir Jim Ratcliffe, dengan nilai mencecah 1.25 bilion pound (RM7.5 bilion).

Sumber industri mendedahkan, United juga sedang menimbang peluang menjana pendapatan tambahan sekitar 10 juta pound (RM60 juta) dengan mengatur perlawanan persahabatan di Arab Saudi musim ini.

Antara pilihan termasuk penyertaan dalam Piala Musim Riyadh, yang berkemungkinan menemukan mereka dengan dua kelab ternama negara itu Al-Nassr dan Al-Hilal serta pasukan milik Lionel Messi, Inter Miami.

Langkah itu dilihat penting untuk menampung kekurangan hasil selepas kegagalan layak ke Liga Juara-Juara Eropah, yang menyebabkan kelab kehilangan potensi pendapatan lebih 100 juta pound termasuk potongan tajaan daripada Adidas.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN