PETALING JAYA: Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan Pakistan dan Afghanistan, susulan insiden yang dilaporkan berlaku antara kedua-dua negara baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund lewat malam tadi bagi menyampaikan pendirian Malaysia berhubung perkara itu.
Katanya, Malaysia menegaskan kepentingan mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang boleh menjejaskan keamanan serta kestabilan rantau berkenaan.
“Saya turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 13 Oktober lalu, lintasan sempadan utama antara Pakistan dan Afghanistan ditutup selepas pertempuran sengit tercetus sepanjang malam berikutan serangan terhadap beberapa pos tentera Islamabad.
Keganasan antara kedua-dua negara jiran itu memuncak sejak letupan di Afghanistan, termasuk dua insiden di ibu negara Kabul, yang dipersalahkan ke atas Pakistan. – UTUSAN










