Malaysia dan AS tandatangani perjanjian perdagangan timbal balik

Malaysia dan AS tandatangani perjanjian perdagangan timbal balik

ANWAR Ibrahim semasa menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kompleks Bunga Raya, Subang. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di sini hari ini.

Rumah White berkata, terma utama dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik itu termasuk komitmen Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar tarif sebanyak 19 peratus bagi Malaysia.

Kata Rumah Putih, pihaknya juga telah mengenal pasti produk daripada senarai Lampiran III kepada Perintah Eksekutif 14346 (bertarikh 5 September 2025) untuk menerima kadar tarif timbal balik sifar peratus.

Katanya, antara terma utama perjanjian perdagangan timbal balik antara AS dan Malaysia termasuk akses pasaran keutamaan yang signifikan bagi eksport barangan industri dari AS. 

“Ini termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang. Bagi eksport pertanian AS, ia termasuk hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk diproses, minuman, daging khinzir, beras dan etanol bahan api.

“Malaysia juga komited untuk menangani halangan bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dua hala dalam sektor industri utama, termasuk menerima kenderaan buatan AS mematuhi piawaian keselamatan dan emisi AS, mempermudah lesen import bagi produk keluli aloi dan paip AS.

“Selain itu, menambah baik keperluan pensijilan halal bagi produk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan serta menangani kebimbangan AS berhubung prosedur penilaian pematuhan,” katanya menerusi kenyataan bersama AS dan Malaysia dikeluarkan Rumah Putih hari ini. 

Terdahulu, Kerajaan AS dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, yang akan memberi peluang pasaran tanpa had kepada pengeksport kedua-dua negara untuk mengakses pasaran masing-masing.

Perjanjian itu dibina berasaskan hubungan ekonomi yang telah lama terjalin termasuk Perjanjian Rangka Pelaburan dan Perdagangan Amerika Syarikat–Malaysia yang ditandatangani pada 2004.

Bagi perjanjian komersial tambahan, kedua-dua pihak mengambil maklum tentang beberapa urus niaga komersial yang sedang dan bakal dimeterai antara syarikat AS dan Malaysia.

Jelasnya, ini termasuk pembelian 30 pesawat dengan pilihan tambahan untuk 30 pesawat lagi, pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data bernilai AS$150 bilion.

“Selain itu, pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair (LNG) bernilai sehingga AS$3.4 bilion setahun. Pembelian arang batu serta produk dan perkhidmatan telekomunikasi bernilai AS$204.10 juta dan pelaburan modal di AS bernilai AS$70 billion,” katanya. 

Rumah Putih berkata, AS akan mempertimbangkan kesan perjanjian itu terhadap keselamatan negara termasuk mengambil kira perjanjian tersebut semasa melaksanakan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (19 U.S.C. 1862).

Selain itu, katanya, bagi menyokong hubungan ekonomi yang adil antara Malaysia dan AS, Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara sedang berbincang untuk memuktamadkan persefahaman bersama mengenai dasar mata wang.

Dalam beberapa minggu akan datang, kedua-dua negara akan melaksanakan formaliti domestik masing-masing sebelum Perjanjian Perdagangan Timbal Balik ini berkuat kuasa sepenuhnya. 

Selain itu, perjanjian turut melibatkan produk makanan dan pertanian, perlindungan alam sekitar, hak harta intelek dan anti cetak rompak, hak pekerja, perdagangan digital dan pelaburan, tadbir urus, keselamatan ekonomi dan rantaian bekalan, mineral kritikal dan unsur nadir bumi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN