LTdL 2025: Ren Bao pelumba terbaik Malaysia

LTdL 2025: Ren Bao pelumba terbaik Malaysia

TSEN REN BAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bintang muda basikal lebuh raya, Tsen Ren Bao dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-34 keseluruhan dan berada dalam kelompok lima terbaik kategori pelumba Asia.

Kejayaan itu sekali gus memperlihatkan kematangannya di pentas elit benua bersama pasukan dari Australia, St. George Continental Cycling Team.

“Secara keseluruhan, ia satu perlumbaan yang baik. Saya berterima kasih kepada Brett Dutton (pengarah sukan) dan pasukan St. George atas peluang ini, serta penganjur LTdL.

“Kami menamatkannya dengan nota positif walaupun banyak yang perlu diperbaiki,” katanya selepas tamat peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur, kelmarin.

Meskipun berpuas hati dengan gelaran pelumba No.1 negara, anak kepada legenda berbasikal lebuh raya, Tsen Seong Hoong itu enggan cepat selesa.

Sebaliknya, beliau meletakkan sasaran baharu untuk menembusi podium kategori Asia dan menyambar jersi putih pada edisi akan datang.

“Bangga jadi pelumba terbaik Malaysia, tapi sasaran sebenar saya ialah naik podium Asia. Kali ini saya terlepas sedikit, tapi itu matlamat utama saya.

“Saya belajar banyak tentang kesabaran, kerja keras dan mungkin makan lebih banyak. Saya kena tambah saiz,” katanya berseloroh.

Ren Bao yang membuat penampilan kedua dalam LTdL selepas menduduki tempat ke-56 tahun lalu, turut menyatakan hasrat untuk kekal bersama pasukan St. George selepas kontraknya tamat hujung tahun ini.

“Saya harap dapat sambung lagi dengan mereka. Dalam tiga tahun akan datang, saya mahu tamat dalam kelompok 20 terbaik keseluruhan, naik podium Asia dan kalau boleh, sarung jersi juga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN