KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri minggu depan bakal menjadi pentas sulung buat jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menilai potensi anak buahnya.
Beliau yang baru memulakan tugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) awal bulan ini dijangka menggunakan kejohanan tersebut sebagai medan penyesuaian bersama barisan pemain yang kini dalam proses pembentukan semula.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen berkata, tumpuan utama ketika ini bukan keputusan, sebaliknya memberi ruang kepada Iskandar untuk memahami karakter pemain-pemainnya terlebih dahulu.
“Iskandar masih baharu dan bekerjasama dengan kumpulan pemain baharu. Dalam fasa awal ini, mereka perlu mencari persefahaman serta keserasian di gelanggang.
“Malaysia Super 100 akan menjadi pengalaman pertama beliau dalam kapasiti jurulatih utama. Ia bukan sekadar menilai latihan, tetapi juga bagaimana beliau mengenali kekuatan mental pemainnya,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara semalam.
Menurut Jonassen, bekas pemain perseorangan kebangsaan itu dilihat sudah mempunyai hala tuju tersendiri dalam membentuk semula skuad wanita negara yang masih bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Setakat ini, barisan perseorangan wanita negara masih gagal menampilkan prestasi konsisten apabila sering terkandas di peringkat awal kejohanan, termasuk dalam siri antarabangsa sebelum ini.
“Saya percaya beliau sudah mempunyai pelan bagaimana mahu membangunkan semula skuad ini. Selepas kejohanan nanti, kita akan menilai semula individu dan apa yang mereka pelajari,” jelasnya.-UTUSAN