PETALING JAYA: Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO) mencadangkan had petrol sebanyak 500 hingga 600 liter sebulan untuk pemandu e-hailing (kereta) manakala 200 hingga 250 liter bagi p-hailing (motosikal).
Presidennya, Jose Rizal berkata, keperluan tambahan itu berdasarkan garis panduan antarabangsa serta amalan industri mengikut purata penggunaan petrol bagi jam operasi.
Katanya, pemberian subsidi itu perlu sama rata kepada semua pekerja gig tanpa dikategorikan sebagai separuh masa (part-time) atau sepenuh masa (full-time) kerana sifat kerja yang dinamik dan merentas platform.
“Adalah tidak wajar menggunakan istilah part-time atau full-time, kerana sifat kerja gig adalah dinamik dan cross-platform. Justeru, kelayakan harus berpandukan data operasi, bukan status pekerjaan.
“Had pemanduan kenderaan adalah sekitar lapan jam sehari (maksimum 12 jam dengan satu hari rehat mingguan). Cadangan kuota tambahan 500-600 liter bagi e-hailing dan 200-250 liter bagi p-hailing relevan, munasabah dan praktikal,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan petrol bersubsidi dengan pihak Penyedia Perkhidmatan E hailing (EHO) pada minggu ini.
MOF dalam kenyataan memaklumkan, ia bagi mengenal pasti pemandu e-hailing yang layak untuk tambahan petrol bersubsidi.
Tambahnya, kerajaan juga dinasihatkan untuk tidak mengikut Penyedia Perkhidmatan E-Hailing (EHO) semata-mata kerana kebimbangan akan wujud risiko tafsiran berat sebelah dalam menentukan status pemandu aktif.
Katanya, pemandu luar bandar juga berisiko tercicir kerana penggunaan petrol lebih tinggi akibat jarak perjalanan yang panjang, namun, data operasi perjalanan lebih rendah.
“Keterlibatan EHO yang berat sebelah, risiko definisi ‘aktif’ hanya ikut tafsiran platform tertentu. Gunakan kriteria objektif (bilangan trip/jam/pendapatan), dengan pemantauan pihak ketiga.
“Pemandu luar bandar tercicir kerana penggunaan petrol tinggi disebabkan jarak lebih jauh, tetapi data perjalanan kurang berbanding bandar. Jadi, harus pertimbangan faktor geografi (bandar vs sub-urban vs luar bandar),” katanya. – UTUSAN










