Komuniti India tidak terpinggir

Komuniti India tidak terpinggir

SKM digital
R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak meminggirkan mana-mana masyarakat termasuk kaum India daripada arus pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, belanjawan itu memperlihatkan dasar inklusif kerajaan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Belanjawan ini benar-benar berteraskan rakyat. Ia membuktikan iltizam kerajaan untuk membela setiap komuniti tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ramanan yang menjaga hal ehwal komuniti India turut menyambut baik pengumuman peruntukan keseluruhan sebanyak RM419 bilion yang merangkumi pelbagai inisiatif keusahawanan, pembiayaan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, peruntukan RM220 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat India melalui pelbagai program keusahawanan, latihan serta peningkatan kemahiran.

“Langkah ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan India yang berdaya saing dan berjaya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif prihatin rakyat termasuk bantuan tunai dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM1 bilion serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM2 bilion yang diawalkan pembayarannya sempena sambutan Deepavali.

“Diskaun khas tol 50 peratus ketika Deepavali juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang meraikannya,” katanya.

Mengulas aspek pendidikan, beliau memuji keputusan kerajaan membina semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di Pahang serta memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf 520 sekolah daif termasuk sekolah Tamil.

“Ini memastikan anak-anak kita menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN