KL City sedia tambah luka Selangor

KL City sedia tambah luka Selangor

Untuk rekod, KL City masih belum tewas dalam enam aksi Liga Super, namun kapten Selangor, Faisal Halim optimis rakan sepasukannya akan bangkit di hadapan penyokong sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City berpeluang menambah derita Selangor FC (SFC) menjelang pertemuan derbi Lembah Klang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok

Pertembungan itu berlangsung tiga hari selepas Gergasi Merah tewas 0-2 kepada Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Khamis lalu.

The City Boys ketika ini berada dalam prestasi terbaik dalam Liga Super musim ini dan ia bakal memberi cabaran besar untuk anak buah Christophe Gamel melakar kebangkitan.

Lebih menarik, skuad bimbingan Risto Vidakovic masih memegang rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini dan jika Selangor mampu mengatasi jiran tetangga itu, mereka akan menjadi pasukan pertama yang menewaskan KL City.

Untuk rekod, KL City masih belum tewas dalam enam aksi Liga Super, namun kapten Selangor, Faisal Halim optimis rakan sepasukannya akan bangkit di hadapan penyokong sendiri.

Tonggak KL City, Syamer Kutty Abba menegaskan The City Boys bukan sahaja berhasrat mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi ingin membawa pulang tiga mata meskipun sedar kekuatan yang dimiliki Selangor.

“Aksi tetangga Lembah Klang sangat penting untuk menunjukkan kepada penyokong bahawa KL City mampu memberikan saingan kepada Selangor FC serta mengekalkan kedudukan dua teratas Liga Super.

“Walaupun kami sedar Selangor FC pasukan yang kuat, kami tetap bertekad untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Selangor berdepan prestasi yo-yo musim ini dengan naib juara Liga Super musim lalu itu ketika ini berada di kedudukan keenam liga dengan mengumpul sembilan mata selepas enam perlawanan.

Menurut pemangku jurulatih SFC, Gamel, biarpun jadual padat dan tekanan tinggi, beliau tidak mahu pemainnya hilang fokus dengan terlalu memikirkan perlawanan akan datang.

“Perlawanan seterusnya amat penting buat kami. Ia aksi liga, dan saya mahu pasukan fokus satu perlawanan demi satu. Selepas itu barulah kita fikir tentang yang lain,” katanya.

KL City tampak lebih menyerlah apabila merekodkan lima kemenangan dan satu seri untuk menghuni tangga kedua dengan mengumpul 16 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN