Kg. Sungai Baru pengajaran supaya berhati-hati berurusan dengan pemaju - Johari

Kg. Sungai Baru pengajaran supaya berhati-hati berurusan dengan pemaju – Johari

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu dijadikan pengajaran kepada penduduk agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan pemaju.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk membuat keputusan, terutama apabila masih terdapat ramai penduduk yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah.

“Pemimpin perlu meneliti sebelum membuat keputusan mengenai pengambilan tanah kerana banyak penduduk masih tidak bersetuju. 

“Selain itu, penduduk juga harus berhati-hati apabila berurusan dengan pemaju supaya hak mereka tidak terjejas,” katanya ketika menghadiri program Fun Walk sempena sambutan Hari Sukan Negara di Taman Tasik Datuk Keramat di sini, hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, penduduk yang sudah dipindahkan sejak bertahun-tahun lalu masih menunggu penyelesaian. Namun, projek pembangunan semula belum dimulakan oleh pihak pemaju.

“Jika projek dimulakan sekarang, ia dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya, menjadikan tempoh menunggu hampir 13 tahun. Keadaan ini jelas tidak adil kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Menurutnya, pemaju perlu memulakan pembinaan sekurang-kurangnya satu atau dua blok terlebih dahulu bagi menempatkan semula penduduk yang dipindahkan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan telah diberi kuasa oleh Kabinet untuk berurusan dengan pemaju kerana semua kelulusan telah diperoleh. 

“Pemaju tidak boleh berlengah lagi dan jika tidak mampu, mereka perlu mendapatkan rakan kongsi lain untuk melaksanakan projek ini,” jelasnya.

Mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zaliha Mustafa, mengenai isu pengambilan tanah yang dikatakan dilakukan secara tergesa-gesa, Johari berkata, perkara itu kini diserahkan sepenuhnya kepada pihak kementerian untuk disiasat dan diteliti.

“Saya rasa beliau sudah sebut, jadi biarlah pihak yang berwajib, khususnya Kementerian Wilayah, menyiasat perkara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh tiga hari. 

Pendedahan itu dibuat Zaliha pada sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru di Dewan Rakyat.

Keputusan berkenaan dibuat selepas pemaju mengemukakan permohonan mengambil alih tanah, termasuk kediaman flat dan lot teres, kepada Kementerian Wilayah Persekutuan. 

Permohonan itu dipertimbangkan Mesyuarat Pasca Kabinet KWP pada 9 September 2020 dan seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kerja Tanah Kuala Lumpur pada 12 April 2021. 

Pewartaan bagi Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta 486 dilaksanakan pada 18 dan 21 Jun 2021, iaitu dalam tempoh hanya tiga hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN