Kenaikan dua sen ibarat 'melepaskan batuk di tangga'

Kenaikan dua sen ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar kenaikan dua sen untuk setiap batang rokok diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ dan Malaysia perlu berani bertindak untuk melindungi generasi muda daripada bahaya nikotin.

Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Roslizawati Md. Ali berkata, cukai rokok tidak pernah dinaikkan sejak 2015, walaupun kadar inflasi dan kos rawatan penyakit berkaitan tembakau semakin meningkat.

Katanya, kadar kenaikan cukai rokok sebanyak dua sen daripada 40 sen kepada 42 sen setiap batang adalah terlalu kecil serta tidak akan memberi kesan ketara terhadap tabiat merokok terutama dalam kalangan remaja dan beban perubatan ditanggung kerajaan.

“Dalam advokasi terdahulu, MyWATCH telah menggesa cukai dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 75 sen setiap batang dengan mengambil iktibar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menghormati perjanjian Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) yang dimeterai sejak 2005 bagi memastikan pengurangan permintaan yang bermakna.

“Selepas hampir sedekad tanpa kenaikan cukai itu, langkah menaikkan sebanyak dua sen adalah terlalu kecil dan tidak akan mengubah tingkah laku pengguna. Dasar cukai tembakau seharusnya melindungi kesihatan rakyat dan bukan keuntungan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam, kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa 1 November ini di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai rokok akan dinaikkan sebanyak dua sen sebatang manakala cerut, cheroots dan cigarillos dinaikkan kepada RM40 sekilogram.

Katanya, produk heated tobacco juga dinaikkan sebanyak RM20 sekilogram bagi kandungan tembakaunya.

Roslizawati berkata, MyWATCH kesal kerana tiada sebarang cukai atau peraturan dikenakan ke atas produk vape serta rokok elektronik (e-rokok) dalam Belanjawan 2026.

“Ketiadaan kawalan ini menyebabkan pasaran vape terus berkembang tanpa sekatan, dengan produk berperisa dan bergula terus menarik minat kanak-kanak serta remaja.

“Ia dilihat seolah-olah pengiktirafan ke atas produk-produk amalan merokok seperti vape serta e-rokok dan gejala budaya kurang sihat,” katanya.

MyWATCH juga menggesa supaya hasil tambahan daripada duti eksais ke atas rokok serta minuman keras disalurkan terus kepada program pencegahan, inisiatif berhenti merokok dan pendidikan awam berkait kesihatan.

“Ia selaras kenaikan kadar duti eksais bagi produk rokok berkuat kuasa 1 November 2025 termasuk peningkatan dua sen setiap batang rokok, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN